NEF Mendesak Kerajaan Menyokong Syarikat ICT Tempatan Untuk Kemajuan Ekonomi Malaysia

KENYATAAN MEDIA

29 JUN 2020

NEF MENDESAK KERAJAAN MENYOKONG SYARIKAT ICT TEMPATAN UNTUK KEMAJUAN EKONOMI MALAYSIA

1. Kami, Persatuan Usahawan dan Industri ICT Bumiputera Malaysia (NEF), ingin menyuarakan dan membangkitkan beberapa isu berkenaan projek-projek kerajaan dalam industri Information and Communications Technology (ICT).

2. NEF mempunyai sejarah sejak 2001, namun didaftarkan secara sah di bawah ROS pada 2008. Ianya ditubuhkan sebagai satu platform untuk usahawan industri ICT bumiputera tanahair berhimpun, berbincang dan menyuarakan pandangan terhadap isu yang berkait dengan industri ICT.

3. Sudah sekian lama kami memerhati bahawa perolehan dan projek-projek yang dilancarkan, terutamanya projek skala besar dianugerahkan kepada syarikat asing. Polisi kerajaan yang sedia ada juga tidak memihak kepada produk dan solusi syarikat tempatan.

4. Contoh pertama, MySejahtera yang dibangunkan dengan usahasama syarikat luar negara, KPISoft Inc dari Amerika Syarikat dan juga mempunyai ibu pejabat Asia di Singapura, untuk pengesanan kontak COVID-19 (1).

5. Contoh kedua, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) baru-baru ini melancarkan laman web DELIMa (Digital Education Learning Initiative Malaysia) di mana solusi dan kandungan digital tempatan langsung tidak diketengahkan (2).

6. Contoh ketiga, antara projek di bawah Penjana adalah MyFutureJobs oleh PERKESO yang menggunakan kepakaran teknologi dari Netherland.

7. Contoh keempat, lagi projek di bawah Penjana mengenepikan pembangun teknologi e-commerce tempatan seperti yang disuarakan oleh SME Association of Malaysia (3).

8. Contoh kelima, seperti yang pernah kami suarakan awal tahun dahulu, program Geran Pendigitalan SME sewajarnya mengutamakan pembangun perisian tempatan bagi SME yang menuntut geran padanan (4).

9. Adalah tidak wajar syarikat luar negara dengan modal yang besar, mendapat pula manfaat daripada wang kerajaan dan wang cukai rakyat untuk kemajuan mereka, sedangkan syarikat tempatan yang bertarung nyawa untuk hidup terpaksa bersaing dengan mereka ini, dengan modal yang terhad.

10. Dalam kes-kes lain, beberapa pihak begitu bersemangat membawa pesaing luar negara untuk bertapak dalam Malaysia, dan membunuh syarikat teknologi tempatan. Lebih sedih lagi apabila ianya disokong oleh pihak kerajaan sendiri ataupun bersandarkan sokongan politik.

11. Ianya sepatutnya menjadi dasar kerajaan, malah negara untuk membantu mempertahankan syarikat tempatan dan membangunkan ekonomi dalam negara.

12. Kami berpendapat bahawa terdapat banyak syarikat-syarikat tempatan yang berkebolehan dan mempunyai solusi inovasi tinggi yang mampu untuk membuat projek-projek skala besar kerajaan.

13. Dasar memberi keutamaan kepada syarikat tempatan bukan sekadar dapat memastikan projek tersebut dihasilkan dengan kualiti tinggi tetapi dapat memajukan ekonomi negara sekaligus memberi peluang pekerjaan pendapatan tinggi di kalangan rakyat.

14. Dengan kes-kes ini, malahan banyak kes-kes terdahulu, dari dulu hingga kini, kami menzahirkan rasa kecewa apabila syarikat ICT tempatan diperlakukan seperti anak tiri di dalam rumah kami sendiri.

15. Kami mencadang dan mendesak supaya kementerian dan agensi kerajaan yang terlibat untuk:

a) Membuat proses ketelitian wajar (due diligence) yang lebih menyeluruh dalam proses perolehan supaya pemilik syarikat induk (parent company) yang dimiliki sepenuhnya oleh rakyat Malaysia diberi keutamaan.

b) Membuat proses libat urus bersama syarikat-syarikat tempatan terlebih dahulu, dari fasa awal dalam pembinaan dan penghasilan produk dan solusi untuk orang awam, dan bukan sekadar “after thought” ataupun hanya sekadar didengari kemudian.

c) Menggubal satu dasar rasmi untuk memberikan keutamaan kepada syarikat tempatan dalam perolehan dan pembangunan projek berasaskan ICT.

d) Menggubal satu dasar rasmi untuk penggunaan perisian sumber terbuka (open source) dalam kerajaan kerana ini membantu dalam pembangunan bakat-bakat ICT dalam negara.

16. Dari perspektif lain, kami ingin mengetengahkan projek dan inisiatif syarikat tempatan dalam membantu kerajaan dan keperluan orang awam. Projek-projek ini membuktikan keupayaan syarikat dan pembangun tempatan dan kesudian mereka menyumbang tenaga dalam projek komuniti. Ini hanyalah sebahagian daripada pelbagai projek ICT oleh syarikat tempatan.

a) CoronaTracker yang telah dibangunkan secara crowdsourcing dan sukarela oleh pembangun tempatan tanpa sebarang imbuhan (5).

b) MyBanjir yang juga telah dibangunkan secara crowdsourcing dan sukarela oleh pembangun tempatan tanpa sebarang imbuhan bagi membantu isu banjir di Kuala Krai tak lama dahulu.

c) DATA8 Sdn Bhd dengan pantas dan sukarela membantu membangunkan sistem rekod saringan Covid-19 untuk kegunaan di Hospital Sungai Buloh.

d) Datang.my yang dibangunkan penuntut UNITEN dengan perhatian tinggi kepada privasi menyumbangkan sistem tersebut secara percuma untuk kegunaan sekolah, merekodkan kehadiran dalam era Covid-19 ini (6).

e) Pandai App yang diterbitkan untuk kegunaan pelajar di Malaysia untuk membantu pembelajaran di sekolah, untuk tahap sekolah rendah dan sekolah menengah.

f) BuKom CaknaAutisma yang dibangunkan sebagai buku rekod digital perkembangan anak-anak autisma untuk kegunaan di Genius Permata dibangunkan dengan sumbangan ibubapa dan orang awam.

17. Kami juga ingin berpesan kepada kerajaan dan pihak yang berwajib, dalam dunia era digital ini, kedaulatan negara bukan sekadar terletak di perbatasan. Berhati-hati dengan dengan yang memberi, jangan sampai termakan budi.

18. Dengan ini juga kami ingin mengumumkan pelancaran kempen #MalaysianTechFirst bagi memberi kesedaran kepada rakyat Malaysia tentang isu ini. Kempen ini tidak terhad kepada produk ICT dan kami mengalu-alukan persatuan serta organisasi industri lain yang mahu bersama-sama kami dalam kempen ini.

 

Khairil Iszuddin bin Ismail
Presiden
Persatuan Usahawan dan Industri ICT Bumiputera Malaysia (NEF) 

secretariat@nefmalaysia.org

#MalaysianTechFirst

 

1 http://www.go.kpisoft.com/navigate-to-the-next-normal

2 https://www.digitalnewsasia.com/insights/why-does-malaysias-moe-discriminate-against-local-technology-and-digital-content

3 https://www.nst.com.my/business/2020/06/603988/prioritise-local-players-over-foreign-ones-penjana-e-commerce-scheme-urges

4 https://otakit.my/geran-pendigitalan-sme-2020-dan-kesan-terhadap-startup-malaysia/

5 https://www.who.int/bulletin/online_first/COVID-19/en/

6 https://smeniaga.com/2020/06/akif-rabbani-bangun-aplikasi-periksa-kehadiran-pelajar/

 

Kenyataan boleh dimuat-turun di pautan di bawah :

NEF-MalaysianTechFirst-2020